Sunday, January 1, 2012

PANDANGAN YANG MENGUNTUNGKAN

Terdapat kalam ulama yang berbunyi :

“ Barangsiapa yang tidak pernah memandang wajah orang yang beruntung pasti tidak akan beruntung”

Memandang wajah orang-orang yang beruntung adalah suatu nikmat dari ALLAH. Sehinggakan pandangan mata tersebut mampu melayakkan seseorang mendapat anugerah yang hebat dari ALLAH.  Kerana itu, Saidina Ibnu Umar meriwayatkan : aku mendengar Rasulullah bersabda :

فمن رآني أو رأى من رأني إلى يوم القيامة دخل الجنة

Bermaksud : “Barangsiapa yang melihat aku (Rasulullah), atau melihat orang yang melihat aku sehinggalah qiamat akan masuk syurga”


( Diriwayatkan oleh Abu Daud dan ibnu Majjah dalam sunan mereka )

Hadis ini diriwayatkan secara Musalsal (rantaian ) daripada seorang syeikh kepada syeikh yang lain.Dengan nikmat dan anugerah ALLAH, al-faqir meriwayatkan hadis musalsal ini daripada Al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad Al-Maliki pada malam Arafah tahun ini bertempat di kompleks Baitul Hikmah.

Siapakah yang layak digolongkan dalam kelompok yang beruntung seperti yang disebut diatas ? Siapakah orang-orang yang begitu hebat dan unggul sehinggakan memandang mereka pun dikira beruntung ? Mereka adalah golongan yang disebut dalam surah Fatihah ayat ke 7 :

صرط الذين أنعمت عليهم غير المغضوب عليهم ولا الضآلين

7. Iaitu jalan orang-orang Yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang Yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang Yang sesat.

Untuk mengetahui  siapakah golongan yang dikurniakan nikmat seperti yang disebut dalam surah Fatihah ini, terdapat ayat lain pula yang menafsirkan ayat dari surah Fatihah di atas:

ومن يطع الله والرسول فأولئك مع الذين أنعم الله عليهم من النبين والصديقين والشهدآء والصالحين وحسن أولئك رفيقا

 Dan sesiapa Yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang Yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, Iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang Yang Syahid, serta orang-orang Yang soleh. dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang Yang taat.   ( surah An-Nisa ayat 69 )

Ayat ini menjelaskan bahawa golongan yang beruntung kerana mendapat nikmat dari ALLAH ada 4 :

1.)    Para Anbiya’
2.)    Para Siddiqin
3.)    Para Syuhada
4.)    Orang-orang soleh

( menatap wajah para ulama dan orang soleh, wajah para guru yang mendidik kami, )

Maka, diketahui bahawa orang-orang solehin adalah golongan yang mendapat nikmat dan anugerah dari ALLAH. Mereka adalah golongan yang diberikan kemuliaan oleh ALLAH untuk bersama-sama Rasulullah , para anbiya’,para siddiqin dan para syuhada.

            Justeru, memandang wajah para orang-orang soleh dan ulama dan duduk bersama mereka adalah satu kemuliaan bagi kaum muslimin. Kerana itu, Imam Abdullah Ibn Alawi Al-Haddad pernaha menyatakan : Para ulama yang membimbing manusia beruntunglah orang yang melihat mereka dan duduk dengan mereka walaupun sekali seumur hidupnya.

            Moga ALLAH mengurniakan kepada kita anugerah untuk memandang dan mengambil manfaat daripada para Ulama, Orang-orang soleh serta menghimpunkan kita bersama mereka. Kerana, Rasulullah bersabda :
" المرء مع من أحب "
Maksudnya : “Seseorang itu akan bersama ( pada Hari Qiamat ) orang dikasihinya”


* Barangsiapa yang tidak pernah memandang wajah orang yang beruntung pasti tidak akan beruntung



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...