Saturday, February 25, 2012

MENGHAPUSKAN KESUSAHAN DAN MUSIBAH DENGAN SEDEQAH

 Antara Musibah yang ditimpakan ke atas umat akhir zaman :  bertambahnya kesusahan dan musibah, manusia sentiasa dalam keadaan tertekan kerana banyaknya bala dan malapetaka yang datang silih berganti, kesedihan dan kemurungan berpanjangan, dunia dirasakan begitu sempit, banyaknya penyakit-penyakit, huru-hara sana sini, keamanan semakin hilang, manusia dalam suasana kegelapan dan kejahilan, jenayah semakin bertambah.  Semua ini ditimpakan keatas umat akhir zaman ini disebabkan kelalaian dan keengganan mereka  daripada menunaikan kewajipan mereka terhadap PENCIPTA mereka.Bertambahnya dosa dan maksiat seseorang akan menyebabkan pelbagai kesusahan menimpanya.  Buktinya,  Baginda RASULULLAH pernah bersabda :


إن الرجل ليحرم الرزق بالذنب يصيبه

Maksudnya : Sesungguhnya seseorang lelaki akan diharamkan daripada rezeqi kerana dosa yang dilakukannya. ( diriwayatkan ibnu Hibban dan beliau mensohihkannya )

                Oleh yang sedemikian, Para Ulama sentiasa mencari jalan-jalan untuk menghilangkan kesusahan dan  musibah yang ditimpakan keatas umat ini. Melalui kajian-kajian yang terperinci terhadap Al-Quran dan Sunnah nabawiyah, para ahli ilmu menggariskan begitu banyak kaedah-kaedah untuk menghilangkan kesusahan dan menghapuskan malapetaka ke atas umat Islam.

Antara cara berkesan yang disebut dalam Sunnah Rasulullah untuk menjauhkan musibah adalah dengan memberi Sedeqah atau memberi hadiah kepada orang yang dalam kesusahan. SEDEQAH merupakan suatu ibadat yang mempunyai keistimewaan yang tinggi di sini ALLAH , kerana ia berfungsi untuk memasukkan perasaan gembira ke dalam dua hati, iaitu hati si pemberi dan hati si penerima SEDEQAH tersebut. Sudah tentu si pemberi akan rasa gembira kepada dapat hulurkan bantuan dan mengurangkan bebanan saudara seagamanya, si penerima SEDEQAH pula rasa gembira kerana dapat menerima sedeqah. Seperti yang disebut oleh Baginda junjungan  apabila ditanya : Apakah amalan yang paling yang afdhal ? maka Baginda menjawab :

أن تدخل على أخيك المسلم سرورا أو تقضى عنه دينا أو تطعمه خبزا

Maksud : ( sebaik baik amalan ialah engkau memasukkan kegembiraan dalam hati seorang muslim atau menunaikan hutangnya atau memberikan makannya dengan roti.

Kalam-kalam Rasulullah yang mulia dibawah akan memberi gambaran yang lebih jelas tentang kemujaraban menghilangkan kesusahan dengan cara banyakkan SEDEQAH :

1.)           Diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud dan Ibnu Umar daripada Rasulullah bahawa Baginda bersabda صلى الله عليه و أله و سلم :
دووا مرضاكم بالصدقة " "
Maksud : ubatilah pesakit-pesakit dikalangan kamu dengan bersedeqah

2.)           Daripada Ibnu mas’ud telah berkata : Rasulullah bersabda :

حصنوا أموالكم  بالزكاة  و دووا مرضاكم  بالصدقة  و أعدوا  للبلاء  الدعاء"  "
Maksud : Bentengilah harta-harta kamu dengan mengeluarkan zakat dan ubatilah pesakit-pesakit kamu dengan bersedeqah dan hadapilah bala dengan berdoa

3.)           Daripada Ubadah Ibn Somit telah berkata: Rasulullah bersabda :

ما تلف  مال  في  بر  ولا  بحر إلا  بمنع  الزكاة  فحرزوا  أموالكم  بالزكاة  دووا م رضاكم  بالصدقة  و ادفعوا عنكم طوارق البلاء بالدعاء , فأن الدعاء ينفع مما نزل و مما لم ينزل , ما نزل يكشفه و ما لم ينزل يحسبه .
Maksud: Tidaklah harta seseorang musnah di laut mahupun di darat melainkan kerana tidak dikeluarkan zakat, lindungilah harta-harta kalian dengan zakat dan ubatilah pesakit-pesakit di kalangan kamu dengan bersedeqah dan angkatlah bala daripada kalian dengan doa.Sesungguhnya doa bermanfaat kepada apa yang telah diturunkan dan akan diturunkan. ( Bala) yang telah diturunkan akan diangkat dengannya, dan apa yang belum diturunkan akan ditahan dengannya.

4.)           Daripada Anas berkata, Rasulullah bersabda :  

ما عولج مريض بدواء أفضل من الصدقة
Maksud : Tidak diubati sesuatu penyakit dengan ubat yang lebih berkesan daripada sedeqah.

5.)           Daripada Abu Hurairah berkata, Rasulullah bersabda :

تداركوا الغموم و الهموم بالصدقات يكشف الله ضركم و ينصركم على أعدائكم و يثبت عند الشدائد أقدامكم
Maksud :Kesusahan dan kebimbangan dihilangkan sedeqah, (dengannya) ALLAH menolong kamu keatas musuh-musuh kamu dan menetapkan kaki-kaki kamu ketika menghadapi kesusahan.

6.)           Diriwayatkan daripada Abu Sa’id Al-Khudri bahawa Rasulullah telah bersabda :

أحبوا المعروف و أهله  فوالذي نفسي بيده إن البركة و العافية معهما
Maksud : Cintailah kebaikan dan ahlinya. Demi jiwaku yang berada di gengaman-NYA, sesungguhnya Barakah dan keselamatan berada bersama kedua-duanya.

7.)           Daripada Amr Ibn Auf berkata, Rasulullah telah bersabda :

إن صدقة تزيد في العمر و تمنع ميتة السوء و يذهب الله بها العجز و الكبر
Maksud: Sesungguhnya sedeqah menambahkan usia dan menghalang kematian yang buruk dan menghilangkan kelemahan dan penuaan.

8.)           Daripada Ibnu Abbas berkata, Rasulullah bersabda:

إن الله ليصرف العذاب عن الأمة بصدقة رجل منهم
Maksud: Sesungguhnya ALLAH akan memalingkan azab keatas umat dengan berkat sedeqah seorang lelaki daripada mereka.

9.)           Daripada Harith Ibn Nu’man berkata, Rasulullah telah bersabda :

الصدقة تمنع سبعين نوعا من أنواع البلاء  أهونها الجذام و البرص
Maksud: Sedeqah menghalang tujuh puluh jenis bala, paling rendahnya adalah sopak dan kusta.

Kesemua hadis-hadis Rasulillah di atas membuktikan bahawa sedeqah adalah salah satu ibadat yang mujarab dalam menghapuskan kesusahan  dan musibah.  Hadis-hadis ini mungkin ada yang kedudukannya dhoif ( lemah ), tetapi para ulama bersepakat hadis dhoif harus diamalkan dalam kelebihan sesuatu amalan contohnya sedeqah. Bahkan, riwayat yang banyak melayakkan hadis-hadis dhoif diatas meningkat kepada hadis Hasan lighairihi. ( kepada yang tak berapa faham, sila merujuk pakar ilmu hadis di sekitar anda ). Konklusinya, kesemua hadis –hadis ini boleh diamalkan tanpa was-was.

Antara kelebihan-kelebihan lain yang kita nikmati akan melalui pemberian sedeqah ialah : 

1.)    Sedeqah yang ikhlas kerana ALLAH akan menghapuskan kemarahan ALLAH terhadap hamba-NYA.
2.)    Membuang sifat cintakan dunia dan kemewahan dari jiwa orang memberi sedeqah
3.)    Menimbulkan rasa kasih dan cinta sesama saudara Muslim
4.)    Dapat hilangkan bebanan orang yang berada dalam keadaan terdesak
5.)    Menyebabkan ekonomi orang Islam sentiasa berkembang kerana berlakunya keluar masuk asset

Justeru , Marilah kita banyakkan bersedeqah dan memberi bantuan kepada saudara kita dengan disertakan niat mudah-mudahan ALLAH memberi keluasan rezeqi dan mengangkat kesusahan dan bala dari semua kaum Muslimin di dunia ini.
  

·         Hadis-hadis tentang sedeqah diatas diambil dari kitab karangan Al-Hafiz Al-Mujtahid Sayyid Ahmad Ibn Siidiq Al-Ghumari yang bertajuk :
·         Antara rujukan lain untuk menghasilkan posting diatas :
-          40 hadis kelebihan menolong orang karangan Imam Munziri
-          40 hadis Al-Ghumariah karangan Sayyid Abdullah Ibn Siddiq Al-Ghumari

* Hadis-hadis diatas perlu dibaca dengan jiwa yang bersih dan dengan azam untuk beramal dengannya, bukan dibaca sekadar untuk blog walking atau tengok-tengok je. Selamat beramal. 

Friday, February 3, 2012

RIANG DENGAN MAULID

Terbaca secebis kalam ulama yang tertera di sebuah kitab , yang membuatkan mulut tersenyum dan hati jadi riang. Kalam tersebut berbunyi :

" من لم يفرح بمحمد لم ير فرحا أبدا "

Maksudnya : “ Siapa yang tidak bergembira dengan Sayyidina Muhammad, tidak akan melihat kegembiraan selama-lamanya. ”

Riangkan hati kita dengan Rasulullah, kerana lumrah orang yang bercinta , apabila dibicara tentang orang yang dicintai hati akan menjadi suka dan gembira. Perasaan suka dan gembira yang lahir itu bergantung juga kepada sejauh mana hati mencintai dan merindui orang yang dibicarakan.

Mungkin perasaan riang kita dengan Rasulullah tidak sehebat perasaan riang perempuan Ansor yang kehilangan ayahnya, saudaranya dan suaminya dalam peperangan Uhud, Tapi apabila melihat wajah Rasulullah dia berkata :

" كل مصيبة بعدك جلل "

Maksudnya: Semua musibah selepas melihatmu ya Rasulullah menjadi senang.

Kegembiraan wanita Ansor ketika melihat Rasulullah Berjaya mengalahkan perasaan sedihnya kerana kehilangan suaminya, ayahnya dan saudaranya. Kemungkinan, perasaan cinta kita terhadap Baginda Rasulullah yang masih lemah dan tidak setanding dengan perasaan cinta si wanita Ansor tadi, tapi sekurang-kurangnya apabila teringat pada Rasulullah hati menjadi riang  bercampur rindu terhadap Baginda , cukuplah itu menjadi dalil Mahabbah kita.

            Al-Hafiz Daiba’ie dalam bacaan Maulid karangan beliau memberi peringatan dan Nasihat buat orang-orang yang merindukan Rasulullah:

“ Pengiring unta mendendangkan lagu dengan kata-kata yang menawan hati;
Lalu unta mengangguk-anggukkan kepalanya mengikut irama lagu kerana gembira

Apakah kamu tidak melihat unta memanjangkan (mempercepatkan ) langkahnya;
Dan mengalirkan air mata yang bercucuran.

Dan langkahnya begitu asyiq, berjalan menuju ke bumi kekasihnya;
Hatinya merintih ingin lekas sampai ke tempat itu

Maka biarkanlah ia . Jangan dipegang tali kekangnya dan jangan dipandu;
Kerinduannya sendiri akan memandunya ke kampong tujuannya.

Hendaklah kamu berasa gembira dan asyiq seperti hal unta itu;
Jika tidak, maka sebenarnya kecintaanmu itu adalah palsu.

Sepatutnya, setiap kali membaca rangkap ini daripada Maulid Daiba’ie, kita menangisi keadaan diri kita yang masih jauh daripada Mahabbah Rasulillah dan sunnahnya, lebih jauh dari seekor unta dan tunggul kayu yang menangis kerinduan terhadap Baginda.

Kami tidak mempunyai apa –apa modal untuk meletakkan diri kami yang hina untuk bersama Rasulullah di Qiyamah, melainkan sekelumit perasaan gembira dengan kelahiran Baginda, dan kami sentiasa merindui Baginda dan merindui untuk mengikuti Sunnah Baginda. Mudah-mudahan ALLAH meletakkan perasaan gembira orang-orang bergembira dengan kedatangan Maulid diatas neraca kelayakan untuk berpimpin tangan dengan Rasulillah di dalam syurga.

Kerana itu janji daripada Baginda:

" المرء مع من أحب "
Maksudnya : “Seseorang itu akan bersama orang dikasihinya”



Ø  Antara nikmat yang paling besar di zaman ni: dikurniakan seorang guru yang mampu menanam benih mahabbah terhadap Rasulullah dalam hati Murid2nya. Mengutip kalam guru kami Al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad Al-maliki : “ Bagaimana kami tidak menyayangi dan mengagungkan guru-guru kami yang mentarbiah kami dengan Mahabbah kepada Rasullah , sehingga hati-hati kami bergetar apabila disebut tentang Baginda “
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...