Friday, February 3, 2012

RIANG DENGAN MAULID

Terbaca secebis kalam ulama yang tertera di sebuah kitab , yang membuatkan mulut tersenyum dan hati jadi riang. Kalam tersebut berbunyi :

" من لم يفرح بمحمد لم ير فرحا أبدا "

Maksudnya : “ Siapa yang tidak bergembira dengan Sayyidina Muhammad, tidak akan melihat kegembiraan selama-lamanya. ”

Riangkan hati kita dengan Rasulullah, kerana lumrah orang yang bercinta , apabila dibicara tentang orang yang dicintai hati akan menjadi suka dan gembira. Perasaan suka dan gembira yang lahir itu bergantung juga kepada sejauh mana hati mencintai dan merindui orang yang dibicarakan.

Mungkin perasaan riang kita dengan Rasulullah tidak sehebat perasaan riang perempuan Ansor yang kehilangan ayahnya, saudaranya dan suaminya dalam peperangan Uhud, Tapi apabila melihat wajah Rasulullah dia berkata :

" كل مصيبة بعدك جلل "

Maksudnya: Semua musibah selepas melihatmu ya Rasulullah menjadi senang.

Kegembiraan wanita Ansor ketika melihat Rasulullah Berjaya mengalahkan perasaan sedihnya kerana kehilangan suaminya, ayahnya dan saudaranya. Kemungkinan, perasaan cinta kita terhadap Baginda Rasulullah yang masih lemah dan tidak setanding dengan perasaan cinta si wanita Ansor tadi, tapi sekurang-kurangnya apabila teringat pada Rasulullah hati menjadi riang  bercampur rindu terhadap Baginda , cukuplah itu menjadi dalil Mahabbah kita.

            Al-Hafiz Daiba’ie dalam bacaan Maulid karangan beliau memberi peringatan dan Nasihat buat orang-orang yang merindukan Rasulullah:

“ Pengiring unta mendendangkan lagu dengan kata-kata yang menawan hati;
Lalu unta mengangguk-anggukkan kepalanya mengikut irama lagu kerana gembira

Apakah kamu tidak melihat unta memanjangkan (mempercepatkan ) langkahnya;
Dan mengalirkan air mata yang bercucuran.

Dan langkahnya begitu asyiq, berjalan menuju ke bumi kekasihnya;
Hatinya merintih ingin lekas sampai ke tempat itu

Maka biarkanlah ia . Jangan dipegang tali kekangnya dan jangan dipandu;
Kerinduannya sendiri akan memandunya ke kampong tujuannya.

Hendaklah kamu berasa gembira dan asyiq seperti hal unta itu;
Jika tidak, maka sebenarnya kecintaanmu itu adalah palsu.

Sepatutnya, setiap kali membaca rangkap ini daripada Maulid Daiba’ie, kita menangisi keadaan diri kita yang masih jauh daripada Mahabbah Rasulillah dan sunnahnya, lebih jauh dari seekor unta dan tunggul kayu yang menangis kerinduan terhadap Baginda.

Kami tidak mempunyai apa –apa modal untuk meletakkan diri kami yang hina untuk bersama Rasulullah di Qiyamah, melainkan sekelumit perasaan gembira dengan kelahiran Baginda, dan kami sentiasa merindui Baginda dan merindui untuk mengikuti Sunnah Baginda. Mudah-mudahan ALLAH meletakkan perasaan gembira orang-orang bergembira dengan kedatangan Maulid diatas neraca kelayakan untuk berpimpin tangan dengan Rasulillah di dalam syurga.

Kerana itu janji daripada Baginda:

" المرء مع من أحب "
Maksudnya : “Seseorang itu akan bersama orang dikasihinya”



Ø  Antara nikmat yang paling besar di zaman ni: dikurniakan seorang guru yang mampu menanam benih mahabbah terhadap Rasulullah dalam hati Murid2nya. Mengutip kalam guru kami Al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad Al-maliki : “ Bagaimana kami tidak menyayangi dan mengagungkan guru-guru kami yang mentarbiah kami dengan Mahabbah kepada Rasullah , sehingga hati-hati kami bergetar apabila disebut tentang Baginda “

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...