Wednesday, July 4, 2012

PANTUN PERINGATAN BAGI YANG LALAI


Di bawah ini adalah butiran-butiran pantun dikarang oleh Syeikh Kami yang Mulia Al-Allamah Al-Faqih Syeikh Kiyai Ahmad Jumhuri Al-Banjari Al-Makki. Pantun ini dihadiahkan oleh beliau kepada alfaqir ketika menziarahi beliau di Makkah pada tahun lepas di rumah beliau yang terletak di kawasan hujun ,Makkah mukarramah. Mudah-mudahan yang menulisnya, yang membacanya, yang memyebarkannya dapat manfaat untuk perbaiki diri dan amalan masing-masing.


1.)               Si Atuk dah yang tua lanjut panjang umur

2.)               Rambut  sudah beruban mulai tabor

3.)               Gigi  sudah longgar giyang-giur

4.)               Kulit sudah kecut kendur

5.)               Jalan pun termundur-mundur

6.)               Pakai tongkat yang lurus kujur

7.)               Ingatan sudah bersimpang-siur

8.)               Kadang-kadang menitis air liur

9.)               Mata yang tadinya terang, mulai kabur

10.)             Makan nasi yang lembut, kadang-kadang makan bubur

11.)              Ayuh janganlah kita iri dengki, bongkak, sombong, takabbur.

12.)              Jangan menipu ; yang buruk dianggap baik dan diaduk dicampur-campur

13.)              Ajaklah manusia berbuat baik, adapun yang jahat dilarang dan ditegur

14.)             Beriman teguh terhadap ALLAH , awas jangan kufur

15.)             Iman yang kuat tidak terkesan dengan panas , kena hujan pun tidak akan luntur.

16.)              Bertaqwa kepada ALLAH Rabbun Syakur

17.)              Berbakti kepada ibu dan bapa ,jangan keluarkan perkataan yang kotor

18.)              Menuntut ilmu kepada Ulama Amilin yang pigur

19.)              Haram mempelajari agama dengan si kafir,mendapatkan BA atau doctor

20.)              Tak payahlah membanggakan anak isteri, harta benda dan kenderaan bermotor

21.)              Didiklah anak dan sekalian makhluk dengan baik dan jujur.

22.)              Suami Isteri saling berkasih sayang,Rumah tangga dipenuhi Sakinah dan tidak hancur

23.)                       Merenung penciptaan Langit dan bumi sambil tafakkur

24.)                       Sentiasa berzikir mengingati ALLAH sambil berdiri ,duduk, baring dan tidur

25.)                       Banyak berselawat dan salam Nabi junjungan yang mempunyai kemuliaan luhur

26.)                       Kerana umur kita sudah senja, bagai matahari yang akan tenggelam dilumpur

27.)                       Mari kita siapkan bekalan untuk masuk kubur

28.)                       Itulah amal soleh yang sangat perlu dan dianjur

29.)                       Berlumba-lumba dalam kebaikan , untuk itu menambah jam lembur

30.)                       Amal yang , dalam liang lahad menjadi teman yang menghibur

31.)                       YA ALLAH berilah kami taufiq hidayah dan himmah  beramal soleh tidak lentur

32.)                       Bertahajjud tengah malam meninggalkan bantal dan kasur

33.)                       Sentiasa melaksanakan taubat kepada ALLAH agar segala dosa kita jadi lebur

34.)                       Menjauhi maksiat agar ketika melintasi neraka tidak gugur

35.)                       Atas nikmat Iman dan Islam serta afiat, marilah kita bersyukur

36.)                       Atas bala bencana redho dengan ketentuan Robbun Syakur

37.)                       Yang Solehin akan masuk syurga yang kebunnya menghijau subur

38.)                       Makan buah pisang, kurma dan anggur

39.)                       Berjiran dengan Para Anbiya, syuhada’ yang gugur dimedan perang ketika bertempur

40.)                       Di dalam syurga Firdaus sambil memandang Zat ALLAH Rabbun Ghafur


Di susun oleh Allamah Kiyai Ahmad Jumhur
Ditanah suci Makkah yang Makmur
Hari Isnin tanggal 9 1428 pada bulan Rajab yang Masyhur
Bersamaan 23 julai 2007 bulan libur
Doa pembaca yang baik saya harap ketika  sahur


jkj
( Gambar Al-Allamah Kiyai Ahmad Jumhuri, ulama hebat di Mekah )
Dipanjangkan dan di “melayu” kan dari bahasa Banjar oleh si hamba yang banyak dosa lagi berjiwa kotor
Yang mengharapkan pandangan Rahmat dari ALLAH yang maha Ghafur
Kalau ado yang salah silap silalah tegur
Silalah baco, renung diri dan moga-moga terhibur
Sambil-sambil menyesali diri dan terus bertafakkur
Moga ALLAH selamatkan kita semua di dunia dan ketika dalam kubur


Sekian

Monday, June 25, 2012

CAHAYA JUMAAT


Bismillah. Antara keistimewaan yang dikurniakan oleh ALLAH kepada umat kekasih-NYA ada yang berbentuk kemuliaan dari segi keistimewaan tempat seperti kemuliaan Multazam, kemuliaan ka’abah, kemuliaan Raudhah Rasulillah, kemuliaan padang Arafah dan sebagainya. Kemuliaan yang dikhususkan kepada tempat ini tidak dapat digapai melainkan oleh orang yang berada di tempat –tempat ini sahaja.

            Adapun kemuliaan yang dikhususkan pada masa-masa tertentu seperti hari jumaat, malam lailatul qadar, hari raya fitri dan adha dan sebagainya mampu diburu oleh semua individu.Maka ianya berbeza dengan kemuliaan yang dikhususkan kepada tempat, rahsia-rahsia dan rahmat ALLAH yang tersimpan dalam masa-masa tertentu ini boleh didapati oleh setiap hamba ALLAH yang mengetahui akan nilai masa-masa tersebut.

            Antara keistimewaan yang diberikan oleh ALLAH kepada kita ialah hari jumaat yang merupakan hari kegembiraan dan keriangan bagi setiap muslim yang dahagakan curahan rahmat Ilahi.Justeru, penghulu sekalian ahli iman ,Baginda Rasulullah telah memberi tunjuk ajar kepada umatnya yang dicintai tentang kelebihan hari jumaat .

 Bahkan di sana terdapat ratusan riwayat-riwayat yang menyebut tentang kelebihan hari yang mulia ini. Para ahli ilmu telah mengumpulkan riwayat-riwayat ini dan menyebarkannya agar mampu diamalkan oleh orang-orang lain. Antara kitab yang pernah dihasilkan dalam bab ini adalah kitab ضوء الشمعة في نظم خصوصيات الجمعة  yang dikarang oleh ulama hebat, Al-Allamah Al-faqih Syeikhul Islam Syeikh Ismail Zein Al-Yamani yang pernah digelarkan oleh ulama sezamannya sebagai “ syafie kecil “ berikutan kehebatan beliau dalam fiqh Syafie.

            Di bawah dititipkan beberapa riwayat hadis yang dalamnya terdapat gesaan daripada baginda kepada umatnya agar perbanyakan amalan yang umum dan secara khusus pada hari jumaat. Antara amalan yang dianjurkan oleh baginda pada hari jumaat adalah seperti berikut :

·         Membaca Surah Al-Kahfi

-          Daripada Abi Sa’id Al-Khudri bahawa Rasulullah bersabda :

من قرأ سورة الكهف في يوم الجمعة أضاء له من النور ما بين الجمعتين
“ Barangsiapa membaca surah Kahfi pada hari jumaat akan disinari dengan cahaya diantara dua jumaat ”
 ( Diriwayatkan oleh Imam Nasa ie dan Baihaqi )

-          Daripada Ibn Umar beliau berkata : Rasulullah telah bersabda :

من قرأ سورة الكهف يوم الجمعة سطح له نور من تحت قدميه إلى عنان السماء بيضي له يوم القيامة و غفر له ما بين الجمعتين
“ Barangsiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari jumaat akan dipancar darinya cahaya daripada bawah kedua belah kakinya sehingga ke langit , akan diputihkan pada hari Qiamat dan diampunkan dosanya diantara dua jumaat”    ( Diriwayatkan oleh Ibn Mardawaih dengan sanad yang tidak mengapa )

·         Membaca Surah Ad-Dukhan

-          Daripada Abu Hurairah berkata: Rasulullah telah bersabda :

من قرأ حم الدخان ليلة الجمعة غفر له
“ Barangsiapa yang membaca Haa mim Ad-dukhan pada malam jumaat akan diampunkan dosanya” 
 ( Diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dengan sanad yang dhoif )

-          Diriwayatkan oleh Abu Umamah Al-Bahili bahawa Rasulullah telah bersabda : 

من قرأها في ليلة الجمعة و في يوم الجمعة بنى الله له بيت في الجنة
“ Barangsiapa yang membacanya ( surah Dukhan ) pada malam  jumaat dan pada hari jumaat nescaya ALLAH akan membinakan  sebuah mahligai baginya di syurga “

-          Diriwayatkan oleh Abu Ya’la daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda : 

من قرأ يس في ليلة اصبح مغفورا له , و من قرأ حم التي يذكر فيها الدخان اصبح مغفورا له
“ Barangsiapa yang membaca surah Yasin pada malam hari maka dia akan berpagian dalam keadaan terampun dosanya, barangsiapa yang membaca pada Ha mim yang disebut dalamnya tentang Dukhan ( asap ) maka dia akan berpagian dalam keadaan terampun dosanya “ ( Sanadnya dihasan oleh Hafiz Ibn Katsir )

·         Banyakkan Istighfar

-          Daripada Anas Ibn malik bahawa Rasulullah telah bersabda :

من قال صبيحة يوم الجمعة أستغفر الله الذي لا إله إلا هو الحي القيوم و أتوب إليه ثلاث مرات غفر الله له ذنوبه و لو كانت مثل زبد البحر
“ Barangsiapa yang mengucapkan pada pagi jumaat : أستغفر الله الذي لا إله إلا هو الحي القيوم و أتوب إليه sebanyak tiga kali akan diampunkan dosanya oleh ALLAH walaupun sebanyak buih di lautan “
 ( diriwayatkan oleh ibn Sunni )

·         Memperbanyakan Selawat

-          Daripada Abu Hurairah berkata : Rasulullah telah bersabda :

من صلى علي يوم الجمعة ثمانين مرة غفر الله له ذنوب ثمانين سنة. قيل : يا رسول الله كيف الصلاة عليك ؟ قال : تقول :  ( اللهم صل على محمد عبدك و نبيك و رسولك النبي الأمي)  و تعقد واحدة.
 “ Barangsiapa berselawat keatasku pada hari jumaat sebanyak lapan puluh kali akan diampunkan oleh ALLAH  dosanya sepanjang lapan puluh tahun. Dikatakan kepada Baginda : Wahai Rasulallah bagaimana caranya berselawat keatas engkau ? Berkata Rasulullah : kamu menyatakan : 
اللهم صل على محمد عبدك و نبيك و رسولك النبي الأمي
 ( Diriwayatkan Darulqutni dan dihasankan oleh Hafiz Iraqi )

-          Daripada Aus Ibn Aus berkata : telah bersabda Rasulullah :

إن من أفضل أيامكم يوم الجمعة, فيه خلق الله ادم ,و فيه قبض , و فيه النفخة , و فيه الصعقة , فأكثروا على من  الصلاة فيه , فإن صلاتكم معروضة علي . قالوا :و كيف تعرض صلاتنا عليك و قد أرمت ؟ فقال : إن الله جل و علا حرم على الأرض أن تأكل أجسامنا
“ Sesungguhnya sebaik-baik hari kalian adalah Hari Jumaat, padanya ALLAH menciptakan Adam, Padanya ( Adam ) diwafatkan, padanya akan berlaku tiupan, padanya akan berlaku kehancuran , maka banyakkanlah selawat keatasku pada hari tersebut. Sesungguhnya selawat kalian akan dibentangkan kepadaku .” Berkata para sahabat : “bagaimana akan dibentang selawat kami kepada engkau selepas engkau wafat ? Maka baginda berkata : “ Sesungguhnya ALLAH mengharamkan keatas bumi dariapada memakan jasad kami .”    (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud, Nasaie, ibnu Majad dan disohihkan oleh Ibnu Hibban, Ibnu Khuzaimah dan hakim )

-          Daripada Umar Ibn khattab berkata: Rasulullah telah bersabda :

أكثروا الصلاة على في اليلة الزهراء و اليوم الأزهر , فإن صلاتكم تعرض على فاعو لكم و أستغفر  
“ Perbanyakkanlah selawat keatasku pada malam Zahra dan Hari Azhar, sesungguhnya selawat kalian akan dibentangkan kepadaku maka Aku akan mendoakan  dan meminta ampun untuk kalian”
-          Daripada Anas berkata : Rasulullah telah bersabda :

من صلى على مائة في يوم الجمعة و ليلة الجمعة قضى الله له مائة حاجة سبعين من حوائج الأخرة و ثلاثين ححوائج الدنيا ثم وكل الله بذلك ملكا يدخل علي في قبري كما تدخل عيلكم الهدايا إن علمي بعد موتي كعلمي في حياة
“ Barangsiapa yang berselawat keatasku sebanyak seratus kali pada hari jumaat dan malam jumaat, nescaya akan ditunaikan oleh Allah akan seratus permintaannya; tujuh puluh hajat di akhirat dan tiga puluh hajat di dunia, dan Allah akan mewakilkan seorang malaikat untuk masuk kepada aku dalam kubur aku seperti mana ______. Sesungguhnya pengetahuanku selepas kewafatanku sama seperti pengetahuanku ketika hidup.”  
( Diriwayatkan oleh Ibnu mandih, Asbahani, Dailami, dan Baihaqi , tidak ada dalam sanadnya perawi yang matruk )

            Moga ALLAH mentaufiqkan dengan Inayah-NYA  untuk kita beramal untuk menghidupkan hari jumaat yang mulia sekaligus menghidupkan Sunnah Rasulullah yang semakin luput dari hati-hati manusia lantaran kejahilan mereka terhadap cara hidup kekasih ALLAH yang agung ini. 

             Kalaulah bukan kerana KEJAHILAN orang Islam pada zaman ini terhadap kemuliaan hari yang mulia ini, kita akan mendapati setiap hari jumaat akan disambut seperti sambutan hari Raya Aidul Fitri.

SELAMAT BERAMAL


*    hadis-hadis yang tertera diatas merupakan riwayat-riwayat yang dikumpulkan oleh Ahli ilmu yang hebat, Muhaddis ulung iaitu Sayyid Abdullah Ibn Siddiq Al-ghumari, seorang tokoh ulama hebat dari Maghribi dalam kitab yang ditahqiq oleh beliau yang bertajuk : بشارة المحبوب في تكفير الذنوب .  ( dicetak di maktabah Qaherah Mesir )

Tuesday, May 1, 2012

NIKMAT YANG DIPERSIAKAN


Bismillah. Nukilan khusus utk para kekasihku  di Maahad Ahmadi :

( Al-faqir tak reti sangat menulis seperti rakan-rakan yang lain, tapi bila dihimpit oleh beberapa tekanan minda, terpaksa cari jalan untuk hilangkan tekanan tersebut dengan cara menulis )

                Teringat ketika masih di Maahad sebagai super senior dulu, pernah dihubungi oleh seorang penjaga dan beliau meminta pendapat al-faqir tentang keinginan anaknya yang ingin pindah dari maahad ke sekolah lain untuk ambil bidang sains untuk jadi Doktor. Waktu tu agak terkejut dan tak tahu apa nak diberi sebagai pendapat. Lalu ana katakan kepada ibu pelajar tersebut :  “Nikmat menuntut ilmu agama ini sesuatu nikmat yang terlalu bernilai, tak dapat digantikan dengan mana-mana nikmat yang lain. Seorang yang diberikan ALLAH akan nikmat mendalami ilmu agama tidak sesekali patut menolak nikmat ini walau dengan apa-apa sebab sekalipun.” Ni jawapan ringkas yang diberikan kepada penjaga tersebut. Tapi, jawapan tersebut tidak dapat menghalang budak itu dari pindah sekolah.

                Ini fenomena yang biasa dilihat di Maahad, para pelajar ramai yang bercita-cita pindah sekolah, dari maahad  pindah masuk ke sekolah akademik untuk ambil aliran sains dan sebagainya.  Bukan masalahnya berpindah sekolah, tapi masalahnya adalah pindah dari bidang ilmu agama ke bidang lain, dengan alasan lebih berminat dengan bidang lain, lalu menyebabkan mereka semakin jauh dari ilmu agama dan suasana Tarbiyyah.

                Kalaulah pelajar-pelajar maahad tahu dan sedar tentang betapa nikmatnya peluang mendalami ilmu agama, mereka takkan pindah dari maahad walaupun dipaksa oleh pengetua maahad sekalipun. Sesiapa yang beranggapan bahawa menjadi pakar perubatan, jurutera, juru terbang, pakar nuclear atau lain lebih baik dari pakar ilmu agama, maka menunjukan dia amat jahil dengan kelebihan tafaqquh fiddin.

                Perhatikan sabdaan Rasulullah yang berbunyi :

من يرد الله به خيرا يفقه في الدين 

Maksud : “ Barangsiapa yang dikehendaki oleh ALLAH akan kebaikan, nescaya ALLAH akan memberikannya peluang mendalami agama”

                Hadis  ini menjelaskan secara tidak langsung bahawa TAFAQQUH FIDDIN adalah satu bentuk kebaikan dari ALLAH Azza wa Jalla. Tidak patut bagi seorang hamba yang diberi nikmat tafaqquh ini untuk menolak jalan kebaikan ini , jadi setiap yang menolak daripada berada di jalan tafaqquh fiddin maka dia telah menolak jalan kebaikan .

Kalaulah dengan jalan menuntut ilmu itu menyebabkan kita dipermudahkan jalan ke syurga yang merupakan kemuncak kenikmatan akhirat, atas sebab apa kita nak berpaling dari jalan ilmu ini ?


                Mengikut pengalaman peribadi, kebanyakan kawan-kawan yang pindah  dari bidang agama ke bidang selain bidang agama menghadapi pelbagai halangan untuk berjaya dalam hidup.  Ramai yang hidup dalam keadaan tak reti membezakan antara halal dan haram, kehidupan yang agak jauh daripada syariat ALLAH, tak kenal mana yang Sunnah Nabi, memandang baik perkara-perkara maksiat  dan ada yang terlibat dalam perkara-perkara yang tak elok mengikut hukum Islam.  kalau perhatikan betul-betul, kita akan  nampak hakikatnya. Mungkin ada diantara mereka yang cemerlang dalam bidang akademik masing-masing , tapi cuba lihat akhlak dan keterikatan mereka dengan syariat dan sunnah, terlalu sedikit yang mampu istiqamah selepas mereka pindah ke sekolah akademik lain.

Dapat belajar ilmu agama adalah suatu nikmat yang tidak dapat ditebus  walaupun seseorang sujud sampai mati. Rugi bagi yang menolaknya. Bukan bermaksud menjadi ahli akademik seperti doktor, jurutera dan lain tak elok, tapi menjadi ahli ilmu adalah sesuatu nikmat yang tiada tandingannya, tanyalah kepada yang merasai nikmat tersebut. 

Jangan risau, di sana terdapat beribu-ribu sekolah yang mampu menghasilkan ahli akaddemik seperti doctor-doktor yang hebat, tapi terlalu sedikit sekolah yang mampu menghasilkan ahli ilmu dan Tarbiyyah yang unggul. Tak rugi kita mewaqafkan diri kita dalam jalan ilmu sampai kita mati, kerana ini jalan warisan para Anbiya’ dan Rasul, ini jalan warisan ahli syurga, tak patut seseorang yang telah masuk jalan keagungan ini untuk keluar darinya. 

Sebab itu di kebanyakan pondok dan madrasah di seluruh dunia, para penuntut ilmu yang baru belajar ilmu agama akan diajar kitab-kitab yang menceritakan kelebihan menuntut ilmu, seperti kitab Ayyuhal walad karangan Imam Ghazali dan  Ta’limul Muta’llim karangan Imam Zarnuji, supaya para penuntut ilmu tahu yang menuntut ilmu itu terlebih indah daripada semua perkara-perkara lain.

                Sepatutnya di maahad ada ustaz-ustaz yang ngajar kitab-kitab seperti ini, abang –abang senior perlu sentiasa mengetengahkan kelebihan-kelebihan menuntut ilmu kepada adik-adik. Dah abang-abang senior pun tak reti semua ni, nak buat macam ye? Takkan nak tunggu abg kucai ko balik dari mesir baru nak suruh dia mengajar kitab2 tu ? beruban rambut korang nanti kang……. Mintaklah sesiapa ustaz kat maahad yang boleh mengajar kitab2 macam ni.

                Akhir kalam, Yang dapat belajar ilmu agama perlulah mengetahui kelebihan belajar ilmu agama supaya mereka menyedari kemuliaan nikmat tafaqquh ini, kegagalan berbuat sedemikian akan menyebabkan kita mensia-siakan malah menolak kebaikan dan kemuliaan dari ALLAH, dan melayakkan kita mendapat kemurkaan dari-NYA. Adalah satu AIB yang besar bagi penuntut ilmu kalau mereka tidak sedar kemuliaan jalan menuntut ilmu.

                Ada beberapa peristiwa dan sebab musabbab yang menyebabkan ana menulis nukilan ini, rasanya mungkin ada yang terluka hati dengan apa yang terpampang di sini, ana dengan rendah hati mohon maaf sekiranya ada yang terasa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...