PENDAHULUAN :
Syeikh Yasin Bin Isa Al-Fadani adalah salah
seorang ulama Nusantara yang paling tersohor di Tanah Haram Makkah Al-Mukarramah pada qurun
14. Kehebatan dan kepakaran beliau dalam bidang ilmu serta kegigihan dalam
medan dakwah telah melahirkan ribuan ahli ilmu yang pada saat ini sedang menyambung
perjuangan beliau di serata dunia. Bahkan nama beliau sentiasa meniti di
kalangan para Ulama –ulama hebat dari kalangan Ahli Sunnah yang terkehadapan
pada abad ini, tidaklah keterlaluan sekiranya dikatakan para ulama hebat dari
kalangan bangsa Arab berebut-rebut untuk menisbahkan diri mereka kepada syeikh
Yasin Al-Fadani. Adalah suatu yang amat
rugi sekiranya umat Nusantara sendiri tidak mengenali dan menyanjungi insan yang
mulia ini . Justeru risalah yang amat ringkas ini dicoret untuk memperkenalkan
keperibadian dan sejarah hidup ulama ini kepada sidang pembaca . Mudah- mudahan
ia bermanfaat :
NAMA, KELAHIRAN DAN NASAB SYEIKH YASIN AL- FADANI :
-
Beliau adalah Al-Allamah, Al-Mutafannin , Musnidul Dunya : Alamuddin
Abul Faidh Muhammad Yasin Bin Muhammad Isa Al-Fadani Al-Makki Al-Hasani.
-
Keluarga beliau berasal dari daerah Padang , Indonesia.
Kemudiannya berhijrah ke Makkah Al-Mukarramah
dan menetap di Tanah Suci Makkah.
-
Syeikh Yasin Al-Fadani lahir di Tanah Suci Makkah Al-Mukarramah pada
tahun 1335 Hijriah, bersamaan 1919 Masihi.
-
Syeikh Yasin pernah dikhabarkan oleh Guru beliau Al-Allamah Al-Muarikh Habib Salim Bin Jindan
bahawa nasab beliau ( Syeikh Yasin ) adalah berketurunan Sayidina Hasan Ibn Ali
Ibn Abi Tolib , tetapi Syeikh Yasin tidak pernah menghebohkan perkara ini kepada
orang ramai melainkan kepada anak-anak murid beliau yang rapat kerana sifat
beliau yang zuhud dan tidak suka kepada
kemasyhuran.
SUASANA PERSEKITARAN KEHIDUPANNYA :
-
Beliau dibesarkan dan ditarbiyah dalam suasana
persekitaran yang amat cenderung kearah ketaqwaan dan keimanan. Manakan tidak,
Syeikh Yasin lahir di Makkah
Al-Mukarramah yang menjadi pusat ibadat bagi umat Muslimin yang paling agung di
dunia, ditambah pula dengan suasana Mekah pada ketika itu yang dibanjiri oleh
para ahli ilmuwan Islam yang terkenal dengan kehebatan mereka dalam pelbagai
sudut ilmu Syariat .
-
Bahkan ayah beliau, Syeikh Isa Al-Fadani adalah dari
kalangan orang yang terkenal dengan kesolehan dan amat mementingkan ilmu dan
tarbiyah jiwa .
PENDIDIKAN DAN PENGEMBARAAN MENUNTUT ILMU :
-
Pendidikan awal syeikh Yasin adalah di bawah
pentarbiyahan ayahnya yang merupakan seorang lelaki yang amat soleh dan juga
pakciknya iaitu Syeikh Mahmud Al-Fadani di mana Syeikh Yasin telah mempelajari
al-Quran, asas-asas ilmu bahasa arab dan fiqh. Bahkan Syeikh Yasin telah
menghafal pelbagai matan-matan ilmu yang terkenal di kalangan ahli ilmu seperti
matan fiqh, matan faraid, matan nahu dan matan mustolah hadis ketika beliau masih kecil lagi.
-
Pada tahun 1346 Hijriah , Syeikh Yasin memasuki
Madrasah Saulatiyyah Al-Hindiyyah di Makkah yang terkenal sebagai Institusi
Ilmu agama yang mengeluarkan para Mufti di seluruh dunia dan menjadi tempat
tumpuan para ulama’ dan cendekiawan semenjak penubuhannya pada tahun 1291
hijriah.
-
Beberapa tahun selepas itu Syeikh Yasin berpindah ke
Madrasah Darul Ulum yang ketika itu baru diasaskan oleh Syeikh beliau Sayyid
Muhsin Al-Musawa. Syeikh Yasin menuntut di Madrasah Darul Ulum sehinggalah
tamat pembelajaran beliau di Madrasah tersebut pada tahun 1353 hijriah.
-
Di samping beliau menuntut ilmu di kedua-dua Madrasah
yang begitu hebat ini, beliau juga sentiasa melazimi pengajian–pengajian para
Masyaikh di Masjid Al-Haram yang ketika itu dihiasi oleh golongan jaguh-jaguh
ulama yang menjadi perhiasan Haramain ketika itu.
PERMULAAN DALAM DAKWAH :
-
Setelah menamatkan pengajian di Madrasah Darul Ulum
pada tahun 1353 Hijriah , Syeikh Yasin mula menceburkan diri ke arena
pengajaran . Beliau mula mengadakan majlis-majlis Talaqqi di dengan Masjidil Haram
dan di Madrasah Darul ulum pada tahun 1356. Halaqah pengajian beliau di Masjidil
Haram diadakan di antara pintu Ibrahim dan pintu Wida’ ( sehinggalah beliau
dihalang dari mengajar di Masjidil Haram oleh pentaksub-pentaksub wahhabi ).
Majlis pengajiannya menjadi tumpuan para penuntut ilmu dari Nusantara khususnya
sebagai tempat mempelajari pelbagai disiplin ilmu.
-
Selain mempunyai majlis pengajian di Masjidil Haram,
Syeikh Yasin juga mengajar di Madrasah Darul Ulum dan di rumah beliau sendiri. Bahkan Syeikh Yasin
mempunyai sejumlah anak murid yang menetap di rumah beliau di atas nafkah
beliau sendiri.
-
Penguasaan Syeikh Yasin terhadap pelbagai cabang ilmu (
oleh kerana itu beliau digelar sebagai Mutafannin ) menyebabkan beliau tidak
mempunyai masalah untuk mengajar kitab-kitab penting yang perlu diajari kepada
penuntut ilmu. Antara kitab-kitab yang diajar oleh Syeikh Yasin adalah kitab fiqh
syafie, usul fiqh, nahu , sarf, hadis,
mustolah hadis, tafsir, ulum Quran . Perkara yang lebih mengagumkan adalah ,
beliau mempunyai kepakaran yang mendalam dalam cabang-cabang ilmu yang sukar
dikuasai seperti : ilmu falak, ilmu mantiq, ilmu faraid, ilmu bayan dan ilmu
qawaid fiqhiyyah. Bahkan, lebih dari itu beliau mempunyai hasil karangan yang
bermutu dalam kebanyakan bidang yang beliau ajari di majlis-majlis beliau
termasuk dalam bidang ilmu falak dan sebagainya.
-
Sekiranya diperhatikan secara teliti, kita akan
mendapati bahawa Syeikh Yasin adalah seorang yang mempunyai himmah yang luar
biasa dalam ilmu, kerana setiap hari beliau mempunyai beberapa kelas pengajian
di 3 tempat : Masjidil Haram , Madrasah
Darul Ulum dan di rumah beliau. Ketiga-tiga kelas pengajian ini menyebabkan
sebahagian besar waktu siang beliau dipenuhi dengan Majlis-majlis ilmu. Pada
waktu malam pula dipenuhi dengan menulis pelbagai kitab-kitab untuk dijadikan
rujukan anak-anak muridnya, dan kebanyakan kitab-kitab beliau mempunyai kualiti
ilmiah yang amat tinggi . Ditambah pula dengan kebiasaan beliau yang sentiasa
menghidupkan malam dengan solat tahajjud dan pelbagai zikir. Keseluruhan waktu
siang dan malam dihabiskan dalam menuntut keredhaan Ilahi dan berkhidmat untuk
umat ini. Kami acap kali mendengar kalam guru kami Syeikh Mahmud Sa’id yang
menyatakan : “ Sesungguhnya aku melihat guruku Syeikh Yasin terlalu sedikit
tidurnya dan terlalu sidikit makan, kehidupannya setiap hari dipenuhi dengan
kelas-kelas pengajian, menulis kitab dan melakukan Ibadat sehinggakan hampir
tiada detik-detik yang dibazirkan dengan perkara yang tidak penting.”
KITAB-KITAB KARANGAN :
-
Syeikh Yasin mempunyai kitab-kitab karangan dalam
setiap bidang yang diajarkan oleh beliau di majlis-majlis pengajian beliau . Kitab-kitab
yang dikarang beliau dijadikan sebagai rujukan oleh anak-anak murid beliau dan
juga teman-teman beliau dari kalangan Masyaikh. Beliau telah mengarang hampir
60 buah kitab dalam pelbagai bidang disiplin ilmu ( selain bidang isnad ) .
-
Disebutkan bawah beberapa kitab karangan beliau yang
menunjukan kepakaran beliau dalam bidang-bidang tertentu :
§ Dalam bidang
Hadis : beliau telah
mengarang kitab yang mensyarahkan Sunan Abi Daud sebanyak 20 jilid, begitu juga
beliau telah menulis kitab syarah kepada kitab Bulughul Muram sebanyak 4 jilid.
§ Dalam bidang
Usul dan Qawaid Fiqh
: beliau mempunyai 8 buah kitab karangan dalam bidang usul dan qawaid fiqhiyyah
antaranya : kitab hasyiah kepada Asybah Wan Nazoir, kitab hasyiah kepada kitab
Tamhid karangan Isnawi, hasyiah kepada kitab Mawahib Saniyyah dalam qaedah
fiqhiyyah, hasyiah kepada Lubbul Usul dan syarahnya kitab Ghayatul Wusul, kitab
syarah bagi kitab Luma’ karangan Syairazi.
§ Dalam bidang
ilmu falak : beliau
mempunyai kitab yang mensyarahkan matan manzumah Al-Qamar, kitab tentang cara
menentukan kiblat menggunakan rubu’ mujayyab ( istilah ilmu falak ), dan sebuah
kitab lagi tentang ilmu Falak Ruhani.
§ Dalam bidang
ilmu Balaghah :
beliau mempunyai dua kitab dalam ilmu bayan iaitu syarah kepada matan Tuhfatul
Ikhwan karangan Imam Dardir dan sebuah risalah tentang ilmu bayan dalam bentuk
soal jawab, begitu juga beliau mempunyai kitab dalam ilmu Wadh dalam bidang
ilmu balaghah.
§ Lain-lain
bidang : Syeikh
Yasin juga telah mengarang risalah dalam ilmu mantiq, ilmu isytiqaq, ilmu bahs
wal munazarah .
KEPAKARAN DALAM ILMU ISNAD :
-
Di samping menguasai pelbagai jenis ilmu, Syeikh Yasin
mempunyai kepakaran yang luar biasa dalam
ilmu isnad dan ilmu riwayat sehinggakan beliau diberi gelaran : “ Musnid
Dunya atau Musnid Asr” . Kepakaran beliau dalam ilmu riwayat dan Isnad
tidak mampu ditandingi oleh mana-mana ulama’ pada zamannya.
-
Syeikh yasin
mempunyai ratusan kitab-kitab ijazah dan tsabat yang pernah dikarang sepanjang
hayatnya. Sekiranya dituliskan kesemua nama kitab-kitab tersebut sudah tentulah
memerlukan masa dan Himmah yang luar biasa, tetapi cukuplah sekadar menyebutkan
bahawa beliau adalah ulama’ yang telah memberi nafas baru kepada dunia ilmu
isnad pada qurun ke-14.
-
Ada diantara anak murid beliau yang telah mengira
jumlah kitab-kitab sanad karangan Syeikh Yasin ( yang dicetak dan belum dicetak
) maka bilangannyahampir mencecah 100 kitab Isnad dan Tsabat.
-
Seperti yang disebut oleh guru kami Syeikh Mahmud
Sa’id, adakalanya Syeikh Yasin akan menulis sebuah kitab khusus setebal satu
jilid apabila beliau ingin mengijazahkan seseorang yang meminta ijazah daripada
beliau . Contohnya, Syeikh Yasin telah
mengarang sebuah kitab khusus setebal satu jilid untuk mengijazahkan anak murid
kesayangan beliau iaitu Syeikh Mahmud Sa’id Mamduh, kitab tersebut berjudul :
الكواكب الدراري بإجازة الشيخ محمود سعيد ممدوح القاهري (
( tamat manaqib Syeikh Yasin siri 1, nantikan sambungannya )
( tamat manaqib Syeikh Yasin siri 1, nantikan sambungannya )