Monday, December 24, 2012

AL-ALLAMAH SYEIKH YASIN AL-FADANI : KEBANGGAAN UMAT NUSANTARA ( siri 1 )

     lllmm

PENDAHULUAN  

Syeikh Yasin Bin Isa Al-Fadani adalah salah seorang ulama Nusantara yang paling tersohor di Tanah Haram Makkah Al-Mukarramah pada qurun 14. Kehebatan dan kepakaran beliau dalam bidang ilmu serta kegigihan dalam medan dakwah telah melahirkan ribuan ahli ilmu yang pada saat ini sedang menyambung perjuangan beliau di serata dunia. Bahkan nama beliau sentiasa meniti di kalangan para Ulama –ulama hebat dari kalangan Ahli Sunnah yang terkehadapan pada abad ini, tidaklah keterlaluan sekiranya dikatakan para ulama hebat dari kalangan bangsa Arab berebut-rebut untuk menisbahkan diri mereka kepada syeikh Yasin Al-Fadani.  Adalah suatu yang amat rugi sekiranya umat Nusantara sendiri tidak mengenali dan menyanjungi insan yang mulia ini . Justeru risalah yang amat ringkas ini dicoret untuk memperkenalkan keperibadian dan sejarah hidup ulama ini kepada sidang pembaca . Mudah- mudahan ia bermanfaat :       




NAMA, KELAHIRAN DAN NASAB SYEIKH YASIN AL- FADANI  :

-          Beliau adalah Al-Allamah,  Al-Mutafannin , Musnidul Dunya : Alamuddin Abul Faidh Muhammad Yasin Bin Muhammad Isa Al-Fadani Al-Makki Al-Hasani.
-         Keluarga beliau berasal dari daerah Padang , Indonesia.  Kemudiannya berhijrah ke Makkah Al-Mukarramah dan menetap di Tanah Suci Makkah.
-          Syeikh Yasin Al-Fadani  lahir di Tanah Suci Makkah Al-Mukarramah pada tahun 1335 Hijriah, bersamaan 1919 Masihi.
-          Syeikh Yasin pernah dikhabarkan oleh Guru beliau  Al-Allamah Al-Muarikh Habib Salim Bin Jindan bahawa nasab beliau ( Syeikh Yasin ) adalah berketurunan Sayidina Hasan Ibn Ali Ibn Abi Tolib , tetapi Syeikh Yasin tidak pernah menghebohkan perkara ini kepada orang ramai melainkan kepada anak-anak murid beliau yang rapat kerana sifat beliau yang zuhud dan tidak suka  kepada kemasyhuran. 

SUASANA PERSEKITARAN KEHIDUPANNYA : 

-          Beliau dibesarkan dan ditarbiyah dalam suasana persekitaran yang amat cenderung kearah ketaqwaan dan keimanan. Manakan tidak, Syeikh Yasin  lahir di Makkah Al-Mukarramah yang menjadi pusat ibadat bagi umat Muslimin yang paling agung di dunia, ditambah pula dengan suasana Mekah pada ketika itu yang dibanjiri oleh para ahli ilmuwan Islam yang terkenal dengan kehebatan mereka dalam pelbagai sudut ilmu Syariat .
-          Bahkan ayah beliau, Syeikh Isa Al-Fadani adalah dari kalangan orang yang terkenal dengan kesolehan dan amat mementingkan ilmu dan tarbiyah jiwa .

PENDIDIKAN DAN PENGEMBARAAN MENUNTUT ILMU  :

-          Pendidikan awal syeikh Yasin adalah di bawah pentarbiyahan ayahnya yang merupakan seorang lelaki yang amat soleh dan juga pakciknya iaitu Syeikh Mahmud Al-Fadani di mana Syeikh Yasin telah mempelajari al-Quran, asas-asas ilmu bahasa arab dan fiqh. Bahkan Syeikh Yasin telah menghafal pelbagai matan-matan ilmu yang terkenal di kalangan ahli ilmu seperti matan fiqh, matan faraid, matan nahu dan matan mustolah hadis ketika  beliau masih kecil lagi.
-          Pada tahun 1346 Hijriah , Syeikh Yasin memasuki Madrasah Saulatiyyah Al-Hindiyyah di Makkah yang terkenal sebagai Institusi Ilmu agama yang mengeluarkan para Mufti di seluruh dunia dan menjadi tempat tumpuan para ulama’ dan cendekiawan semenjak penubuhannya pada tahun 1291 hijriah.
-          Beberapa tahun selepas itu Syeikh Yasin berpindah ke Madrasah Darul Ulum yang ketika itu baru diasaskan oleh Syeikh beliau Sayyid Muhsin Al-Musawa. Syeikh Yasin menuntut di Madrasah Darul Ulum sehinggalah tamat pembelajaran beliau di Madrasah tersebut pada tahun 1353 hijriah.
-          Di samping beliau menuntut ilmu di kedua-dua Madrasah yang begitu hebat ini, beliau juga sentiasa melazimi pengajian–pengajian para Masyaikh di Masjid Al-Haram yang ketika itu dihiasi oleh golongan jaguh-jaguh ulama yang menjadi perhiasan Haramain ketika itu.

PERMULAAN DALAM DAKWAH :  

-          Setelah menamatkan pengajian di Madrasah Darul Ulum pada tahun 1353 Hijriah , Syeikh Yasin mula menceburkan diri ke arena pengajaran . Beliau mula mengadakan majlis-majlis Talaqqi di dengan Masjidil Haram dan di Madrasah Darul ulum pada tahun 1356. Halaqah pengajian beliau di Masjidil Haram diadakan di antara pintu Ibrahim dan pintu Wida’ ( sehinggalah beliau dihalang dari mengajar di Masjidil Haram oleh pentaksub-pentaksub wahhabi ). Majlis pengajiannya menjadi tumpuan para penuntut ilmu dari Nusantara khususnya sebagai tempat mempelajari pelbagai disiplin ilmu.
  
-          Selain mempunyai majlis pengajian di Masjidil Haram, Syeikh Yasin juga mengajar di Madrasah Darul Ulum  dan di rumah beliau sendiri. Bahkan Syeikh Yasin mempunyai sejumlah anak murid yang menetap di rumah beliau di atas nafkah beliau sendiri.

-          Penguasaan Syeikh Yasin terhadap pelbagai cabang ilmu ( oleh kerana itu beliau digelar sebagai Mutafannin ) menyebabkan beliau tidak mempunyai masalah untuk mengajar kitab-kitab penting yang perlu diajari kepada penuntut ilmu. Antara kitab-kitab yang diajar oleh Syeikh Yasin adalah kitab fiqh syafie, usul fiqh,  nahu , sarf, hadis, mustolah hadis, tafsir, ulum Quran . Perkara yang lebih mengagumkan adalah , beliau mempunyai kepakaran yang mendalam dalam cabang-cabang ilmu yang sukar dikuasai seperti : ilmu falak, ilmu mantiq, ilmu faraid, ilmu bayan dan ilmu qawaid fiqhiyyah. Bahkan, lebih dari itu beliau mempunyai hasil karangan yang bermutu dalam kebanyakan bidang yang beliau ajari di majlis-majlis beliau termasuk dalam bidang ilmu falak dan sebagainya.  
-          Sekiranya diperhatikan secara teliti, kita akan mendapati bahawa Syeikh Yasin adalah seorang yang mempunyai himmah yang luar biasa dalam ilmu, kerana setiap hari beliau mempunyai beberapa kelas pengajian di 3 tempat : Masjidil Haram  , Madrasah Darul Ulum dan di rumah beliau. Ketiga-tiga kelas pengajian ini menyebabkan sebahagian besar waktu siang beliau dipenuhi dengan Majlis-majlis ilmu. Pada waktu malam pula dipenuhi dengan menulis pelbagai kitab-kitab untuk dijadikan rujukan anak-anak muridnya, dan kebanyakan kitab-kitab beliau mempunyai kualiti ilmiah yang amat tinggi . Ditambah pula dengan kebiasaan beliau yang sentiasa menghidupkan malam dengan solat tahajjud dan pelbagai zikir. Keseluruhan waktu siang dan malam dihabiskan dalam menuntut keredhaan Ilahi dan berkhidmat untuk umat ini. Kami acap kali mendengar kalam guru kami Syeikh Mahmud Sa’id yang menyatakan : “ Sesungguhnya aku melihat guruku Syeikh Yasin terlalu sedikit tidurnya dan terlalu sidikit makan, kehidupannya setiap hari dipenuhi dengan kelas-kelas pengajian, menulis kitab dan melakukan Ibadat sehinggakan hampir tiada detik-detik yang dibazirkan dengan perkara yang tidak penting.”  

KITAB-KITAB KARANGAN  :

-          Syeikh Yasin mempunyai kitab-kitab karangan dalam setiap bidang yang diajarkan oleh beliau di majlis-majlis pengajian beliau . Kitab-kitab yang dikarang beliau dijadikan sebagai rujukan oleh anak-anak murid beliau dan juga teman-teman beliau dari kalangan Masyaikh. Beliau telah mengarang hampir 60 buah kitab dalam pelbagai bidang disiplin ilmu ( selain bidang isnad ) .
-          Disebutkan bawah beberapa kitab karangan beliau yang menunjukan kepakaran beliau dalam bidang-bidang tertentu :

§  Dalam bidang Hadis : beliau telah mengarang kitab yang mensyarahkan Sunan Abi Daud sebanyak 20 jilid, begitu juga beliau telah menulis kitab syarah kepada kitab Bulughul Muram sebanyak 4 jilid.
§  Dalam bidang Usul dan Qawaid Fiqh : beliau mempunyai 8 buah kitab karangan dalam bidang usul dan qawaid fiqhiyyah antaranya : kitab hasyiah kepada Asybah Wan Nazoir, kitab hasyiah kepada kitab Tamhid karangan Isnawi, hasyiah kepada kitab Mawahib Saniyyah dalam qaedah fiqhiyyah, hasyiah kepada Lubbul Usul dan syarahnya kitab Ghayatul Wusul, kitab syarah bagi kitab Luma’ karangan Syairazi.
§  Dalam bidang ilmu falak : beliau mempunyai kitab yang mensyarahkan matan manzumah Al-Qamar, kitab tentang cara menentukan kiblat menggunakan rubu’ mujayyab ( istilah ilmu falak ), dan sebuah kitab lagi tentang ilmu Falak Ruhani.
§  Dalam bidang ilmu Balaghah : beliau mempunyai dua kitab dalam ilmu bayan iaitu syarah kepada matan Tuhfatul Ikhwan karangan Imam Dardir dan sebuah risalah tentang ilmu bayan dalam bentuk soal jawab, begitu juga beliau mempunyai kitab dalam ilmu Wadh dalam bidang ilmu balaghah.
§  Lain-lain bidang : Syeikh Yasin juga telah mengarang risalah dalam ilmu mantiq, ilmu isytiqaq, ilmu bahs wal munazarah .

KEPAKARAN DALAM ILMU ISNAD :

-          Di samping menguasai pelbagai jenis ilmu, Syeikh Yasin mempunyai kepakaran  yang luar biasa dalam ilmu isnad dan ilmu riwayat sehinggakan beliau diberi gelaran : “ Musnid Dunya atau Musnid Asr” . Kepakaran beliau dalam ilmu riwayat dan Isnad tidak mampu ditandingi oleh mana-mana ulama’ pada zamannya.
-           Syeikh yasin mempunyai ratusan kitab-kitab ijazah dan tsabat yang pernah dikarang sepanjang hayatnya. Sekiranya dituliskan kesemua nama kitab-kitab tersebut sudah tentulah memerlukan masa dan Himmah yang luar biasa, tetapi cukuplah sekadar menyebutkan bahawa beliau adalah ulama’ yang telah memberi nafas baru kepada dunia ilmu isnad pada qurun ke-14.
-          Ada diantara anak murid beliau yang telah mengira jumlah kitab-kitab sanad karangan Syeikh Yasin ( yang dicetak dan belum dicetak ) maka bilangannyahampir mencecah 100 kitab Isnad dan Tsabat.  
-          Seperti yang disebut oleh guru kami Syeikh Mahmud Sa’id, adakalanya Syeikh Yasin akan menulis sebuah kitab khusus setebal satu jilid apabila beliau ingin mengijazahkan seseorang yang meminta ijazah daripada beliau . Contohnya,  Syeikh Yasin telah mengarang sebuah kitab khusus setebal satu jilid untuk mengijazahkan anak murid kesayangan beliau iaitu Syeikh Mahmud Sa’id Mamduh, kitab tersebut berjudul :
الكواكب الدراري بإجازة الشيخ محمود سعيد ممدوح القاهري (

( tamat manaqib Syeikh Yasin siri 1, nantikan sambungannya )
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...