Monday, June 25, 2012

CAHAYA JUMAAT


Bismillah. Antara keistimewaan yang dikurniakan oleh ALLAH kepada umat kekasih-NYA ada yang berbentuk kemuliaan dari segi keistimewaan tempat seperti kemuliaan Multazam, kemuliaan ka’abah, kemuliaan Raudhah Rasulillah, kemuliaan padang Arafah dan sebagainya. Kemuliaan yang dikhususkan kepada tempat ini tidak dapat digapai melainkan oleh orang yang berada di tempat –tempat ini sahaja.

            Adapun kemuliaan yang dikhususkan pada masa-masa tertentu seperti hari jumaat, malam lailatul qadar, hari raya fitri dan adha dan sebagainya mampu diburu oleh semua individu.Maka ianya berbeza dengan kemuliaan yang dikhususkan kepada tempat, rahsia-rahsia dan rahmat ALLAH yang tersimpan dalam masa-masa tertentu ini boleh didapati oleh setiap hamba ALLAH yang mengetahui akan nilai masa-masa tersebut.

            Antara keistimewaan yang diberikan oleh ALLAH kepada kita ialah hari jumaat yang merupakan hari kegembiraan dan keriangan bagi setiap muslim yang dahagakan curahan rahmat Ilahi.Justeru, penghulu sekalian ahli iman ,Baginda Rasulullah telah memberi tunjuk ajar kepada umatnya yang dicintai tentang kelebihan hari jumaat .

 Bahkan di sana terdapat ratusan riwayat-riwayat yang menyebut tentang kelebihan hari yang mulia ini. Para ahli ilmu telah mengumpulkan riwayat-riwayat ini dan menyebarkannya agar mampu diamalkan oleh orang-orang lain. Antara kitab yang pernah dihasilkan dalam bab ini adalah kitab ضوء الشمعة في نظم خصوصيات الجمعة  yang dikarang oleh ulama hebat, Al-Allamah Al-faqih Syeikhul Islam Syeikh Ismail Zein Al-Yamani yang pernah digelarkan oleh ulama sezamannya sebagai “ syafie kecil “ berikutan kehebatan beliau dalam fiqh Syafie.

            Di bawah dititipkan beberapa riwayat hadis yang dalamnya terdapat gesaan daripada baginda kepada umatnya agar perbanyakan amalan yang umum dan secara khusus pada hari jumaat. Antara amalan yang dianjurkan oleh baginda pada hari jumaat adalah seperti berikut :

·         Membaca Surah Al-Kahfi

-          Daripada Abi Sa’id Al-Khudri bahawa Rasulullah bersabda :

من قرأ سورة الكهف في يوم الجمعة أضاء له من النور ما بين الجمعتين
“ Barangsiapa membaca surah Kahfi pada hari jumaat akan disinari dengan cahaya diantara dua jumaat ”
 ( Diriwayatkan oleh Imam Nasa ie dan Baihaqi )

-          Daripada Ibn Umar beliau berkata : Rasulullah telah bersabda :

من قرأ سورة الكهف يوم الجمعة سطح له نور من تحت قدميه إلى عنان السماء بيضي له يوم القيامة و غفر له ما بين الجمعتين
“ Barangsiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari jumaat akan dipancar darinya cahaya daripada bawah kedua belah kakinya sehingga ke langit , akan diputihkan pada hari Qiamat dan diampunkan dosanya diantara dua jumaat”    ( Diriwayatkan oleh Ibn Mardawaih dengan sanad yang tidak mengapa )

·         Membaca Surah Ad-Dukhan

-          Daripada Abu Hurairah berkata: Rasulullah telah bersabda :

من قرأ حم الدخان ليلة الجمعة غفر له
“ Barangsiapa yang membaca Haa mim Ad-dukhan pada malam jumaat akan diampunkan dosanya” 
 ( Diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dengan sanad yang dhoif )

-          Diriwayatkan oleh Abu Umamah Al-Bahili bahawa Rasulullah telah bersabda : 

من قرأها في ليلة الجمعة و في يوم الجمعة بنى الله له بيت في الجنة
“ Barangsiapa yang membacanya ( surah Dukhan ) pada malam  jumaat dan pada hari jumaat nescaya ALLAH akan membinakan  sebuah mahligai baginya di syurga “

-          Diriwayatkan oleh Abu Ya’la daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda : 

من قرأ يس في ليلة اصبح مغفورا له , و من قرأ حم التي يذكر فيها الدخان اصبح مغفورا له
“ Barangsiapa yang membaca surah Yasin pada malam hari maka dia akan berpagian dalam keadaan terampun dosanya, barangsiapa yang membaca pada Ha mim yang disebut dalamnya tentang Dukhan ( asap ) maka dia akan berpagian dalam keadaan terampun dosanya “ ( Sanadnya dihasan oleh Hafiz Ibn Katsir )

·         Banyakkan Istighfar

-          Daripada Anas Ibn malik bahawa Rasulullah telah bersabda :

من قال صبيحة يوم الجمعة أستغفر الله الذي لا إله إلا هو الحي القيوم و أتوب إليه ثلاث مرات غفر الله له ذنوبه و لو كانت مثل زبد البحر
“ Barangsiapa yang mengucapkan pada pagi jumaat : أستغفر الله الذي لا إله إلا هو الحي القيوم و أتوب إليه sebanyak tiga kali akan diampunkan dosanya oleh ALLAH walaupun sebanyak buih di lautan “
 ( diriwayatkan oleh ibn Sunni )

·         Memperbanyakan Selawat

-          Daripada Abu Hurairah berkata : Rasulullah telah bersabda :

من صلى علي يوم الجمعة ثمانين مرة غفر الله له ذنوب ثمانين سنة. قيل : يا رسول الله كيف الصلاة عليك ؟ قال : تقول :  ( اللهم صل على محمد عبدك و نبيك و رسولك النبي الأمي)  و تعقد واحدة.
 “ Barangsiapa berselawat keatasku pada hari jumaat sebanyak lapan puluh kali akan diampunkan oleh ALLAH  dosanya sepanjang lapan puluh tahun. Dikatakan kepada Baginda : Wahai Rasulallah bagaimana caranya berselawat keatas engkau ? Berkata Rasulullah : kamu menyatakan : 
اللهم صل على محمد عبدك و نبيك و رسولك النبي الأمي
 ( Diriwayatkan Darulqutni dan dihasankan oleh Hafiz Iraqi )

-          Daripada Aus Ibn Aus berkata : telah bersabda Rasulullah :

إن من أفضل أيامكم يوم الجمعة, فيه خلق الله ادم ,و فيه قبض , و فيه النفخة , و فيه الصعقة , فأكثروا على من  الصلاة فيه , فإن صلاتكم معروضة علي . قالوا :و كيف تعرض صلاتنا عليك و قد أرمت ؟ فقال : إن الله جل و علا حرم على الأرض أن تأكل أجسامنا
“ Sesungguhnya sebaik-baik hari kalian adalah Hari Jumaat, padanya ALLAH menciptakan Adam, Padanya ( Adam ) diwafatkan, padanya akan berlaku tiupan, padanya akan berlaku kehancuran , maka banyakkanlah selawat keatasku pada hari tersebut. Sesungguhnya selawat kalian akan dibentangkan kepadaku .” Berkata para sahabat : “bagaimana akan dibentang selawat kami kepada engkau selepas engkau wafat ? Maka baginda berkata : “ Sesungguhnya ALLAH mengharamkan keatas bumi dariapada memakan jasad kami .”    (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud, Nasaie, ibnu Majad dan disohihkan oleh Ibnu Hibban, Ibnu Khuzaimah dan hakim )

-          Daripada Umar Ibn khattab berkata: Rasulullah telah bersabda :

أكثروا الصلاة على في اليلة الزهراء و اليوم الأزهر , فإن صلاتكم تعرض على فاعو لكم و أستغفر  
“ Perbanyakkanlah selawat keatasku pada malam Zahra dan Hari Azhar, sesungguhnya selawat kalian akan dibentangkan kepadaku maka Aku akan mendoakan  dan meminta ampun untuk kalian”
-          Daripada Anas berkata : Rasulullah telah bersabda :

من صلى على مائة في يوم الجمعة و ليلة الجمعة قضى الله له مائة حاجة سبعين من حوائج الأخرة و ثلاثين ححوائج الدنيا ثم وكل الله بذلك ملكا يدخل علي في قبري كما تدخل عيلكم الهدايا إن علمي بعد موتي كعلمي في حياة
“ Barangsiapa yang berselawat keatasku sebanyak seratus kali pada hari jumaat dan malam jumaat, nescaya akan ditunaikan oleh Allah akan seratus permintaannya; tujuh puluh hajat di akhirat dan tiga puluh hajat di dunia, dan Allah akan mewakilkan seorang malaikat untuk masuk kepada aku dalam kubur aku seperti mana ______. Sesungguhnya pengetahuanku selepas kewafatanku sama seperti pengetahuanku ketika hidup.”  
( Diriwayatkan oleh Ibnu mandih, Asbahani, Dailami, dan Baihaqi , tidak ada dalam sanadnya perawi yang matruk )

            Moga ALLAH mentaufiqkan dengan Inayah-NYA  untuk kita beramal untuk menghidupkan hari jumaat yang mulia sekaligus menghidupkan Sunnah Rasulullah yang semakin luput dari hati-hati manusia lantaran kejahilan mereka terhadap cara hidup kekasih ALLAH yang agung ini. 

             Kalaulah bukan kerana KEJAHILAN orang Islam pada zaman ini terhadap kemuliaan hari yang mulia ini, kita akan mendapati setiap hari jumaat akan disambut seperti sambutan hari Raya Aidul Fitri.

SELAMAT BERAMAL


*    hadis-hadis yang tertera diatas merupakan riwayat-riwayat yang dikumpulkan oleh Ahli ilmu yang hebat, Muhaddis ulung iaitu Sayyid Abdullah Ibn Siddiq Al-ghumari, seorang tokoh ulama hebat dari Maghribi dalam kitab yang ditahqiq oleh beliau yang bertajuk : بشارة المحبوب في تكفير الذنوب .  ( dicetak di maktabah Qaherah Mesir )
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...