Saturday, January 14, 2012

AIR MATA KERINDUAN


كل القلوب إلى الحبيب تميل *** و معي بذلك شاهد و الدليل
أما الدليل إذا ذٌكرت محمد *** صارت الدموع العاشقين تسيل

Semua hati-hati cenderung kepada Sang kekasih
Dan aku ada bukti dan dalil untuk itu
Adapun dalilnya adalah apabila dibicara tentang Muhammad
Maka berlinanglah air mata orang-orang yang rindu





Beberapa riwayat tentang orang-orang yang menangis kerinduan kepada PEMILIK KUBAH HIJAU :

1.)   Diriwayatkan bahawa seorang perempuan datang berjumpa Sayyidah Aisyah dan meminta agar ditunjukkan tempat Rasulullah dimaqamkan, lalu Sayyidah Aisyah membukakan bilik yang dimaqamkan Rasulullah , lalu perempuan tadi masuk dan terus menangis sehingga meninggal dunia.” ( diambil dari kitab As-Syifa’ )

2.)   Ishak Ibn Tujibi berkata : “ Tidak akan disebut tentang Rasulullah kepada para Sahabat Baginda selepas kewafatan Baginda melainkan mereka akan menjadi pilu , kulit mereka menjadi pucat dan menangis. Begitu juga keadaan kebanyakan para Tabien. Mereka menangis kerana Cinta dan rindu kepada Baginda, ada yang menangis kerana Haibah terhadap Baginda dan mengagungkannya.” ( diambil dari kitab Syifa’ )


3.)    Imam Hasan Al-Basri , apabila beliau membicarakan hadis tentang kisah tunggul kayu yang menangis kerinduan terhadap Rasulullah, beliau menitiskan air mata sambil berkata : “ wahai hamba ALLAH, kita yang lebih layak menangis kerinduan kepada Nabi kita berbanding tunggul kayu tersebut .”

4.)   Imam Malik Ibn Anas berkata : “ Aku tidak mengambil riwayat daripada guruku Ayyub Sikhtiyani melainkan setelah aku melihat dia menitiskan air mata apabila disebut nama Rasulullah .”

Banyak lagi riwayat lain yang menunjukkan para salafussolah apabila disebut tentang Rasulullah, mereka akan menangis, ada diantara mereka yang menjadi pucat mukanya, ada yang menangis sehingga menggigil, ada yang meraung sambil menyebut Nama Rasulullah yang mulia. Semua keadaan ini berlaku kerana kerinduan mereka yang memuncak terhadap Baginda.

Terdapat sepotong kalam ahli mahabbah yang berbunyi :

إذا ذكر الحبيب تجنن
“ Apabila diingatkan tentang kekasih, kami akan jadi gila ”

Kebiasaanya , apabila disebut saja nama orang kita rindui, sebuah perasaan sayu akan menusuk ke hati seketika itu, perasaan ini boleh dirasai semua orang yang mempunyai perasaan rindu terhadap orang lain. Semakin hebat perasaan rindu itu, semakin kemuncaklah perasaan sayu yang bersarang dalam hati. Dan apabila perasaan rindu itu ditujukan kepada Makhluk yang paling layak dirindui iaitu Rasulullah , cukup sekadar membaca sedikit perihal kemuliaan Baginda, mata akan menitiskan air mata tanda rindu kepada Baginda.

Sayangnya, zaman semakin berlalu dan orang-orang yang benar-benar rindu kepada Rasulullah semakin sedikit walapun orang- orang yang mengaku mencintai Baginda tetap ramai. Tidak ramai yang dalam hatinya tersimpan perasaan rindu kepada Rasulullah seperti mana para salaf merindui Baginda.

Betapa beruntungnya orang-orang yang diberi nikmat oleh ALLAH untuk selalu berada dalam majlis-majlis kemuliaan yang membicarakan tentang kemuliaan Baginda sehingga menyebabkan hati-hati semakin rindu dan menangis kerana ingin bertemu dengan Baginda.

Demi ALLAH , orang yang mengetahui nilai majlis-majlis Maulid , Majlis selawat, Majlis Hadis tidak akan sesekali ketinggalan dari menyertai majlis –majlis ini.

Takziah kepada orang-orang yang jarang menghadiri majlis-majlis Rasulullah.
Takziah dan takziah kepada orang yang langsung tak tertarik hatinya kepada majlis –majlis seperti ini.
Takziah dan seribu kali takziah kepada golongan yang berusaha sedaya upaya untuk menjauhkan umat ini daripada majlis-majlis Rasulullah.


Ø  Posting ini ditulis setelah al-faqir menghadiri Majlis Maulid bersama Guru dan ahbab, dalam majlis ni dibacakan qasidah –qasidah yang mengandungi kemuliaan Nabi. Ramai yang kelihatan pilu dan ada yang mengalirkan air mata termasuk Guru al-faqir.sedikit terkejut kerana jarang jumpa orang menangis kerana Rasulullah.
Ø  Moga ALLAH  memberi nikmat untuk sentiasa bersama Majlis Rasulullah.

Sunday, January 1, 2012

PANDANGAN YANG MENGUNTUNGKAN

Terdapat kalam ulama yang berbunyi :

“ Barangsiapa yang tidak pernah memandang wajah orang yang beruntung pasti tidak akan beruntung”

Memandang wajah orang-orang yang beruntung adalah suatu nikmat dari ALLAH. Sehinggakan pandangan mata tersebut mampu melayakkan seseorang mendapat anugerah yang hebat dari ALLAH.  Kerana itu, Saidina Ibnu Umar meriwayatkan : aku mendengar Rasulullah bersabda :

فمن رآني أو رأى من رأني إلى يوم القيامة دخل الجنة

Bermaksud : “Barangsiapa yang melihat aku (Rasulullah), atau melihat orang yang melihat aku sehinggalah qiamat akan masuk syurga”

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...